Khamis, 28 Jun 2018

SUDAH SIAPKAH HIDUP INI

Sudah siapkah hidup ini?
andai menghirup secawan kopi
bersama sekeping roti
buat alas di awal pagi
tiba di tengah hari
kita lapar lagi
isi perut bagai menari-nari
minta diisi
dan kita makan lagi
tiba petangnyanya kita lapar lagi
lalu kita makan lagi
makan...makan...dan makan
Esok tiba lagi
dan kita ulangi cerita sama
skrip yang sama
makan..lapar...dan makan lagi

Sudah siapkah hidup ini?
andai kita sedari kecil diasuh mengenal huruf
pandai menulis pandai membaca dan mengira
menerima pendidikan hingga tamat peringkat rendah
meneruskan pula peringkat menengah melalui zaman remaja yang penuh gelora
menuju ke menara gading menimba dan terus menimba
akhirnya kitakeluar membanting tulang mencari sesuap nasi
roda kehidupan itu terus kita putar dan putar lagi

Sudah siapkah hidup ini?
andai kita punya masalah
lalu kita cari solusinya
itu ....ini ....bebegitu dan begini
makanya selesai....
belum pun sempat menghelakan nafas yang panjang
ia datang lagi
dengan bentuk dan karakter yang lainnya
makanya lagi kita cari solusinya
dan entah ke berapa kalinya
ia datang dan pergi silih berganti
tanpa memberi ruang mengecap sedikit nikmat
Sudah siapkah hidup ini?
kepada mu aku bertanya.

W NASHURIN W HANAFI
29 JUN 2018
TANAH MERAH, KELANTAN


Sabtu, 19 Mei 2018

MENCARI SESEORANG BERNAMA "SAID"


Kisah ini berlaku sekitar tahun 2005.  Ketika itu saya baharu sahaja bergraduat pada tahun 2004 dan  mendapat tawaran sebagai guru ganti di SMU(A) Darul Ulum Jedok, Jedok Tua, Tanah Merah di kampung kelahiran saya. Tawaran tersebut diperolehi kerana bapa saudara saya merupakan seorang pengetua di situ.

Setahun juga saya mengajar di sekolah tersebut dan sepatutnya saya ditemuduga oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk ke jawatan  guru tetap namun di penghujung 2004 negeri Kelantan mengalami banjir yang agak besar dan saya pada waktu itu pulang ke Felda Perasu, Gua musang kerana  bercuti panjang tidak dapat menghadiri temuduga berkenaan yang dijalankan di Nilam Puri, Kota Bharu akibat terkandas banjir di Kuala Krai.

Makanya, di awal tahun 2005 bermulalah episod menganggur buat diri saya. Disebabkan ketiadaan pekerjaan, saya memohon untuk menjadi guru tuisyen di sebuah pusat tuisyen yang terletak di bandar Gua Musang.

Jadual tuisyen saya lazimnya adalah waktu malam. Ia bermula pada pukul 8.30 malam dan akan tamat pada pukul 10.30 malam.  Kebiasaannya begitulah, saya akan diberikan dua jam untuk mengajar dan setiap jam akan dibayar sebanyak rm20. Ini bermakna untuk satu sesi mengajar saya akan dibayar sebanyak rm40. Di dalam seminggu saya akan mengajar tuisyen sebanyak 3 kali di pusat tuisyen tersebut. Dan matapelajaran yang saya ajar ialah Matematik Tambahan dan juga Fizik.
Pada hujung minggu pula iaitu Jumaat dan Sabtu saya mendapat tawaran mengajar tuisyen di sekolah tempat saya menjadi guru ganti iaitu di SMU(A) Darul Ulum, Jedok. Saya diberikan 8 jam untuk dua hari tersebut.matapelajaran yang diberikan kepada saya ialah Bahasa Inggeris dan Matematik.  

Walaupun jaraknya agak jauh terpaksa berulang dari Gua Musang ke Jedok yang terletak di Tanah Merah, demi sesuap nasi saya gagahi juga. Pelajar-pelajar yang menghadiri kelas saya rata-ratanya dikalangan pelajar sekolah tersebut dan juga daripada Maahad As Sabirin Ayer Lanas, Jeli. Kelas tersebut adalah percuma kepada pelajar dan ia dibiayai oleh Yayasan Islam Kelantan.
Kebiasaannya pada petang Khamis saya akan menunggang motorsikal saya dari Gua Musang untuk ke Jedok dan akan bermalam di rumah datuk dan nenek saya yang terletak di Kampung Jedok Tua. Saya dibayar sebanyak rm160 untuk dua hari tersebut. Jika di congak-congak pendapatan saya di dalam seminggu adalah sekitar rm280. Dapatlah digunakan untuk perbelanjaan harian disamping bekal petrol untuk motorsikal sebagai modal untuk pergi mengajar.

Untuk ke pusat tuisyen yang terletak di bandar Gua Musang,  sebelum sampai ke persimpangan jalan besar saya harus melalui kebun- kebun kelapa sawit milik peneroka Felda Perasu. Melalui beberapa gertak kecil yang sempit, mendaki beberapa buah bukit serta menuruni cerun yang sedikit curam dan jalan yang berselekoh sebelum sampai ke kampung Renok. Jalan kecil inilah yang menghubungkan penduduk Felda Perasu dan kampung Renok seterusnya untuk ke bandar.
Di persimpangan jalan, jika ke kiri kita akan sampai ke bandar Gua Musang dan jika ke kanan kita akan sampai ke Felda Gugusan Chiku.

Jalan yang berliku sebelum tiba ke kampung Renok menyebabkan saya berfikir dua kali untuk pulang selepas mengajar. Kebiasaanya selepas pukul 10 malam jalan kecil itu menjadi lengang dan tiada sesiapa melaluinya. Memikirkan jika terjadi kejadian yang tidak diingi sewaktu melewati bukit dan hutan kelapa sawit menyebabkan saya memilih untuk bermalam di masjid saja dan pulang keesokannya paginya. Tambahan pula saya pernah mendengar cerita penduduk kampung tentang sebuah gertak kecil yang diberi panggilan gertak “Tokkar”.Dikatakan gertak itu agak keras tempatnya.

Saya akan membawa bekal kain selimut dank kain sarung disamping beberapa buku persediaan mengajar saya di dalam sebuah beg galas.
Sewaktu berehat di salah sebuah masjid di bandar sementara menunggu waktu masuk solat dan untuk ke pusat tuisyen, saya berkenalan dengan seorang bernama Said. Maka disinilah bermulanya cerita seorang bernama Said.