Ahad, 19 November 2017

MUDA YANG TIDAK AKAN KEMBALI

Di penghujung 30- an ini, sesekali aku terkenangkan zaman muda ku yang penuh gemilang. Zaman sewaktu di bangku sekolah terutamanya sering bertandang di benak fikiran.

Selepas bangkit daripada kegagalan UPSR. Aku memasuki tingkatan satu dengan semangat yang berkobar-kobar. Malu yang teramat sangat menjadi daya penggerak untuk aku tekun di dalam pelajaran.

Selepas keputusan UPSR yang aku kira agak teruk, membuatkan aku termenung sendirian. Betapa selama ini telah banyak waktu-waktuku terbuang begitu sahaja.

Kemanakah arah tuju hidupku selepas ini? Disaat ramai rakan-rakan pada waktu itu berjaya menempatkan diri untuk belajar di sekolah berasrama penuh, aku hanya mampu melihatnya dari jauh.

Aku cuba mencari -cari dimanakah kekuatanku yang sebenar. Setiap langkah ke sekolah aku aturkan penuh makna. Setiap bait-bait lagu sekolah yang ku nyanyikan sewaktu perhimpunan mingguan aku hayati dengan penuh mendalam. Setiap kata-kata guru sewaktu di dalam kelas aku tekuni. Setiap latihan dan kerja rumah yang diberikan guru aku siapkan tanpa ada rasa keluh resah.

Sebelum tidur aku bermonolog sendirian.aku sematkan kata-kata semangat ke dalam lubuk sanubariku. Rutin persekolahan aku lalui dengan semangat yang waja. aku gauli rakan-rakanku tanpa ada rasa prejudis. Guru - guru aku hormati selayaknya. Disiplin sekolah tidakku langgar.

Dan akhirnya tiga tahun yang berikutnya ia telah membuahkan hasil. Didalam peperiksaan PMR yang merupakan peperiksaan penting di peringkat menengah rendah aku berjaya mendapat 7A daripada lapan matapelajaran yang ditawarkan.Sekaligus memahatkan namaku sebagai pelajar terbaik PMR di sekolah pada waktu itu.

Aku terkesima seketika. Tidak terkata. Mandi ku tidak basah dek kerana keputusan yang cemerlang itu. Perasaan ku amat teruja kerananya. Dan aku melangkah ke tahun baharu memasuki tingkatan empat aliran sains dengan penuh gayanya.

Perjuangan masih belum selesai. Aku menggali ilmu semahunya sebagai persediaan SPM. Satu lagi peperiksaan yang amat penting. Ia ibarat nyawa.Ia adalah penentu hala tuju hidup. Ia merupakan cermin keseluruhan pendidikan yang telah kita lalui sepanjang 11 tahun di bangku sekolah.

Sekali lagi berkat ketekunan dan usaha tanpa rasa jemu,aku telah tersenarai salah seorang pelajar aliran sains yang mendapat pangkat satu. Pada waktu itu hanya tiga orang sahaja pelajar aliran sains yang berjaya mendapat pangkat satu. Dua daripadanya adalah pelajar perempuan.

Lebih membanggakan kesepuluh matapelajaran yang ku ambil telah mendapat pangkat kepujian.

Laluan untuk memasuki universiti semakin terbuka. Di saat rakan-rakan yang lain masih tercari-cari arah untuk memasuki tingkatan 6. Aku sudah melihat laluan yang ingin aku lalui.

Matrikulasi adalah pilihan utama kerana aku ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah tanpa melalui program diploma atau tingkatan 6.

Dengan berbekalkan sijil SPM yang baik aku diterima untuk memasuki matrikulasi UPM di Kolej Mara Kulim, Kulim Kedah.

Setahun di sana aku melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dengan mengikuti kursus Bachelor Sains (Kepujian) - Fizik.

Dan kini telahpun berjaya menempatkan diri sebagai kakitangan awam.

Daripada kegagalan lalu. Satu perkara yang aku pelajari. Kejayaan tidak akan datang bergolek. Perlu kepada usaha yang tiada nokhtahnya. Ayuh!! sama-sama kita berusaha menjadi yang terbaik!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan