Jumaat, 24 November 2017

SELAMAT TINGGAL RUMAH KENANGAN

Rumah ini meninggalkan seribu satu kenangan kepada saya didalam mengharungi pahit maung kehidupan. Biarpun ia hanya sekadar rumah sewa tetapi ia cukup melekat di sanubari saya.

Rumah ini cukup selesa. Mempunyai ruang tamu, ruang keluarga, satu master bedroom dan tiga bilik tidur. Juga mempunyai dua bilik mandi dan mempunyai ruang laundry dibahagian belakangnya.

Ruang laman hadapannya cukup luas. Jika didirikan khemah untuk majlis kenduri  saya kira ia dapat memuatkan empat ataupun lima buah khemah bersaiz biasa. Cukup luas.Di hadapan rumah di sebelah kirinya terdapat lampu jalan yang menerangi laman dan di bawah lampu tersebut terdapat sebuah garaj kereta yang dapat memuatkan dua buah kereta.

Saya begitu senang sekali tinggal di situ.Adik beradik yang ingin pulang berhari-raya tidak akan menghadapai masalah untuk ruang letak kereta mahupun bilik tidur.
Waktu paginya  nyaman sekali. Dikelilingi pokok-pokok buah-buahan dan nyior yang ditanam oleh pemiliknya.

Disebelah kiri rumah tersebut juga terdapat kebun buah-buahan milik seorang penduduk kampung menjadikan suasana sekitarnya redup dan sejuk. Di tambah pula bekalan air untuk kegunaan harian seperti membasuh pakaian, mandi dan sebagainya adalah berpunca daripada bukit. Tiada bayaran bulanan yang dikenakan. Cuma perlu membayar sedikit upah bagi penduduk kampung untuk membaiki sekiranya berlaku masalah paip tersumbat.Kebiasaanya saluran paip akan tersumbat dan dipenuhi pasir ketika waktu hujan lebat. Rasanya sejuk dan nyaman seperti mandi di kawasan air terjun. Airnya juga deras dan boleh mandi sepuas hati.

Di waktu senja suasana menjadi cepat redup dan gelap. Lantaran matahari terbenam akan terlindung disebalik pohon-pohon getah yang merimbun di bahagian belakang rumah.
Dan azan Maghrib berkumandang dengan jelas sekali kerana duduknya hanya setengah kilometer sahaja dari rumah.

Di musim tengkujuh di bulan Disember, akan kedengaran jelas sekali deruan air sungai dari kebun buah-buahan di sebelah rumah. Airnya akan menjadi keruh dan arusnya akan lebih deras jika hujan turun dengan lebatnya. Saya sendiri pun tidak pasti dimanakah penghujungnya sungai itu. Tidak pernah pula saya cuba mengembara menuruti alurnya.Lagipun saya tidak berminat.

Lebih kurang setahun lebih saya menetap di rumah tersebut. Bermula pada Julai 2015 sehingga Mac 2017. Sebuah kampung yang diberi nama Kampung Nibong letaknya di dalam jajahan Tanah Merah.Jauhnya sekitar setengah jam perjalanan ke Bandar Tanah Merah dan dua puluh minit untuk ke pekan Jeli. Kedudukannya betul-betul di tepi jalan raya Pasir Putih-Gerik.


Dua hari sebelum menjelangnya hari raya, dapat dilihat kereta bersesak-sesak dan bergerak dengan perlahan akibat terlalu ramai perantau dari arah utara yang menggunakan jalan tersebut untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Agak leka juga saya menontonnya dari muka pintu rumah.

Kini tiada lagi deruan anak sungai dari kebun sebelah yang kedengaran. Tiada lagi suara burung-burung yang berkicauan dari kebun getah di belakang rumah. Tiada lagi bau hamis najis dan kencing lembu milik tuan empunya kebun sebelah. Tiada lagi kelibat arwah adik yang keluar masuk dari biliknya untuk mengambil minuman di dapur. Tiada lagi rasa sejuknya air bukit sewaktu mandi. Tiada lagi suasana pagi penuh kabus yang menenangkan. Tiada lagi senja yang sayu disusuli azan Maghrib dari masjid berdekatan.

Rumah itu saya tinggalkan dengan penuh kenangan.Penuh rasa hiba kerana disitulah kali terakhir arwah adik keluar melangkahkan kakinya untuk ke hospital ditemani saya dan ibu sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir beberapa hari berikutnya.

Saya berpindah lagi. Tetapi destinasi kali ini adalah rumah milik sendiri. Tidak perlu lagi membayar sewa bulanan sebanyak RM550.00 setiap bulan.

Walaupun sudah mempunyai rumah milik sendiri. Jauh dari lubuk hati yang paling dalam rumah itu tetap di dalam kenangan dan kekal di dalam diari perjalanan hidup saya.

Dan kicauan burung yang disusuli dengan deruan air sungai saling bertingkah menjadikan muzik alam begitu syahdu dan menenangkan. Selamat tinggal “rumah kenangan”.

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan