Rabu, 29 November 2017

MUSIM TENGKUJUH TIBA LAGI

Anak-anak sedang bermain air dihadapan rumah
Di penghujung tahun di bulan November dan Disember, sudah menjadi kebiasaan di negeri di pantai timur akan menerima taburan hujan yang sangat lebat. Jika hujan tiga atau empat hari berlarutan tanpa henti akan mengakibatkan berlakunya banjir di kebanyakan kawasan yang agak rendah.

Sewaktu saya menetap di Nibong tiada sebarang masalah berkaitan banjir. Hanya suasana sejuk yang menyelubungi. Tidak perlu ambil kisah tentang air hujan yang akan melimpah masuk ke dalam rumah. Tidak perlu memikirkan untuk mencari tempat perpindahan kerana tidak pernah berlaku banjir.

Sebatang jalan kecil yang menghubungkan Kg. Bechah Perahu dan
bandar Tanah Merah telah ditenggelami air
Namun semalam adalah pengalaman pertama saya berdepan dengan situasi banjir. Bukan banjir sangat pun cuma hujan lebat menyebabkan air sebak dan bertakung dan melimpahi jalan di hadapan rumah. Mujur rumah saya ini letaknya agak tinggi sedikit dan air hanya hampir mencecah tiang pintu pagar rumah sahaja.

Saya tidaklah begitu bimbang kerana sudah dimaklumkan lebih awal sebelum memiliki rumah tersebut lagi telah mendapat maklumat pada banjir besar yang melanda pada tahun 2014 rumah itu tidak dinaiki air. Cuma penduduk di kawasan ini akan terperangkap tidak dapat keluar ke bandar ekoran jalan kecil yang menghubungkan kawasan tersebut dinaiki air dan tidak dapat dilalui dengan kenderaan kereta mahupun motorsikal.

Kelihatan kanak- kanak dan dewasa sedang mengharung air
Alhamdulillah pada malamnya selepas Isya’ sekitar jam lapan lebih saya turun semula ke halaman untuk menjenguk paras air. Kelihatannya semakin susut.
Keesokan paginya sesudah Subuh saya keluar sekali lagi ke halaman rumah untuk menjenguk paras air. Pagi ini air surut sepenuhnya. Alhamdulillah….

Sedikit info tentang kawasan tempat tinggal saya kini:
Kampung Bechah Perahu, Manal 1 Tanah Merah Kelantan. Merupakan bekas kawasan paya dan bendang padi suatu ketika dahulu dan kini telah dijadikan penempatan. Namun terdapat beberapa kawasan yang masih berpaya yang airnya tidak pernah kering.


Pada waktu malamnya kedengaran cengkerik dan sahutan katak saling bertingkah.Seperti yang pernah saya dengari sewaktu zaman kanak-kanak. Bersama-sama dengan kawan-kawan melewati kawasan tandak dari kampung saya ( Jedok Tua ) untuk pergi ke kampung sebelah ( Kampung Gual ) untuk menyaksikan pertunjukan dikir barat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan