Sabtu, 2 Disember 2017

HIDUP DATO' PA !!!

Warga dewan sedang mendengar ucapan daripada
YB Dato Seri Mustapha Mohamed
Hari ini saya ke Pondok Moden bagi menerima sumbangan pakaian seragam sekolah anak sulung. 

Surat hebahan telahpun diedarkan oleh SK Ayer Lanas beberapa hari yang lepas kepada ibu bapa yang telah mendaftarkan anak mereka bagi tahun satu pada tahun hadapan.

Seluruh sekolah rendah di dalam parlimen Jeli terlibat. Dan pakaian seragam sekolah disumbangkan oleh ahli parlimen Jeli iaitu Dato’ Seri Mustapha Mohamed dengan kerjasama Tabung Haji dan pembekal pakaian seragam sekolah berjenama Canggih. Ia adalah untuk seluruh anak-anak Jeli mendaftar ke tahun satu tanpa mengira fahaman parti politik.
YB Dato Seri Mustapha Mohamed
Sedang memberikan ucapan ringkas

Saya tidak tahu di parlimen lain adakah ahli parlimen masing-masing berbuat demikian seperti mana Dato’ Seri Mustapha Mohamed ataupun mesra dipanggil Dato’ Pa lakukan.

Apa yang saya tahu Dato Pa adalah pemimpin yang begitu amanah didalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ahli perlimen. Selalu pulang ke kawasan untuk menjenguk anak buah dan menyelami permasalahan rakyat.

Kehadiran Dato’ Pa di Parlimen Jeli menjadikan Jeli sebagai sebuah daerah yang suatu ketika dahulunya agak mundur dan ketinggalan dari semua aspek pembangunan bertukar wajah dengan pembangunan disana-sini. Sebuah daerah yang pernah digelar sebagai tempat jin bertendang. Jika disebut Jeli semua orang tidak akan sudi bertandang ke sini. Di dada-dada akhbar suatu ketika dahulu pernah memaparkan berita tentang harimau menyerang penoreh getah dan penduduk kampung membuatkan Jeli bukanlah daerah pilihan dan menakutkan.

Pernah juga terdengar sebuah kisah haiwan liar seperti gajah masuk ke kawasan kebun penduduk dan merosakkan tanaman. Begitu sukar penduduk kampung mencari makan pada waktu itu. Demi kelangsungan hidup mereka terpaksa juga ke kebun dan menoreh getah walaupun mengetahui nyawa mereka di dalam bahaya.

Demikianlah secebis kisah tentang daerah Jeli yang hulu dan keterbelakang daripda arus pembangunan.

Kehadiran Dato Pa sebagai ahli parlimen Jeli telah mencorakkan Jeli sebagai salah sebuah daerah yang menjadi tumpuan kini. Segala-galanya ada disini. Sebuah universiti bernama UMK (Universiti Malaysia Kelantan), Politeknik, Kolej Komuniti, Hospital, MRSM, Sekolah Menengah Sains, Affin Bank, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Bank Muamalat dan Pasaraya Pantai Timur menjadikan Jeli setanding dengan daerah-daerah lain bahkan lebih maju daripada daerah Kuala Krai dan Gua Musang dan melangkaui  daerah Tanah Merah.
YB Dato Pa sedang menyampaikan
barangan kelengkapan sekolah kepada
murid-murid

Dengan usaha yang telah dilakukan oleh Dato Pa ini, limpahan pembangunannya dapat dirasai oleh seluruh rakyat Jeli. Tanah –tanah di Jeli meningkat dengan mendadak nilainya akibat pemaju berebut-rebut untuk memajukan tanah bagi menjadikan tapak perumahan untuk para pensyarah, kakitangan bank, kakitangan awam dan sebagai rumah untuk disewakan kepada pelajar-pelajar universiti.

Gerai-gerai di sekitar universiti tumbuhnya bagaikan cendawan  selepas  hujan menyediakan pelbagai juadah dan menu sebagai alternatif kepada pelajar yang sudah jemu dengan makanan di cafĂ©. Pengusaha kedai dobi layan diri juga menikmati limpahan pembangunan apabila ramai pelajar, pensyarah dan kakitangan awam serta penduduk setempat menggunakan khidmat dobi tersebut untuk mencuci pakaian mereka.

Pendek kata nikmat pembangunan ini sama-sama dapat dirasai oleh penduduk setempat sekalipun kepada para peniaga goreng pisang di gerai yang terletak di tepi jalan.
Begitulah besarnya kesan sesuatu pembangunan terhadap kemajuan ekonomi penduduk setempat dan kita tidak boleh untuk menolak pembangunan kerana ia seiring dengan peningkatan ekonomi sesebuah kawasan.

Inilah yang ingin dibawa oleh Dato Pa yang menginginkan UMK didirikan di Jeli dan beberapa pusat pendidikan yang lainnya seperti Politeknik dan MRSM.
Orang ramai berpusu-pusu menunggu giliran mendapatkan
pakaian seragam sekolah  percuma
Dato Pa juga sangat mengutamakan bidang pendidikan. Daripada program sekolah Amanah yang telah dijalankan di beberapa buah sekolah rendah dan menengah tidak lain dan tidak bukan untuk menjamin kualiti pendidikan yang diterima oleh anak-anak Jeli setanding dengan anak-anak yang berada di Bandar. Bahkan pusat tuisyen percuma diberikan kepada murid-murid yang akan menghadapi UPSR dan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan anak-anak Jeli.

Dan hari ini sumbangan pakaian percuma pula untuk anak-anak yang bakal memasuki tahun satu bagi sesi 2018. Saya berasakan amat wajar Dato Pa diberikan penghargaan cukup tinggi oleh penduduk parlimen Jeli. Dengan pemberian pakaian seragam sekolah ini juga setidak-tidaknya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh ibubapa yang rata-ratanya berpendapatan sederhana dengan punca pendapatannya adalah daripada kerja-kerja kampung seperti menoreh getah dan sebagainya.

Tambahan pula bulan Disember adalah merupakan musim tengkujuh yang tentunya membuatkan ramai penoreh-penoreh getah tidak dapat ke kebun untuk menorah dan seterusnya menjejaskan pendapatan mereka. Ia tidak termasuk ahli keluarga yang mempunyai tanggungan yang ramai dan masih bersekolah. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, kecil tapak tangan nyiru ditadahkan. Pemberian pakaian seragam ini memang tepat pada masanya dikala kos sara hidup kian meningkat.
HIDUP DATO’ PA !!!









Tiada ulasan:

Catat Ulasan