Ahad, 24 November 2019

PERPISAHAN ITU

Perpisahan itu
adalah perit
memaksa diri
menyusur waktu
tanpa naluri

Keindahan itu
bagai diragut
keping-keping kehibaan
umpama ribut
menikam lantai hati
memalit luka
entah bilakah sembuh

Perpisahan itu
menyapa
lalu pergi
meninggalkan daerah terpencil
lena dalam mimpi

ONE_NASH
SMKJ
23 NOV 2019

Khamis, 28 Jun 2018

SUDAH SIAPKAH HIDUP INI

Sudah siapkah hidup ini?
andai menghirup secawan kopi
bersama sekeping roti
buat alas di awal pagi
tiba di tengah hari
kita lapar lagi
isi perut bagai menari-nari
minta diisi
dan kita makan lagi
tiba petangnyanya kita lapar lagi
lalu kita makan lagi
makan...makan...dan makan
Esok tiba lagi
dan kita ulangi cerita sama
skrip yang sama
makan..lapar...dan makan lagi

Sudah siapkah hidup ini?
andai kita sedari kecil diasuh mengenal huruf
pandai menulis pandai membaca dan mengira
menerima pendidikan hingga tamat peringkat rendah
meneruskan pula peringkat menengah melalui zaman remaja yang penuh gelora
menuju ke menara gading menimba dan terus menimba
akhirnya kitakeluar membanting tulang mencari sesuap nasi
roda kehidupan itu terus kita putar dan putar lagi

Sudah siapkah hidup ini?
andai kita punya masalah
lalu kita cari solusinya
itu ....ini ....bebegitu dan begini
makanya selesai....
belum pun sempat menghelakan nafas yang panjang
ia datang lagi
dengan bentuk dan karakter yang lainnya
makanya lagi kita cari solusinya
dan entah ke berapa kalinya
ia datang dan pergi silih berganti
tanpa memberi ruang mengecap sedikit nikmat
Sudah siapkah hidup ini?
kepada mu aku bertanya.

W NASHURIN W HANAFI
29 JUN 2018
TANAH MERAH, KELANTAN


Sabtu, 19 Mei 2018

MENCARI SESEORANG BERNAMA "SAID"


Kisah ini berlaku sekitar tahun 2005.  Ketika itu saya baharu sahaja bergraduat pada tahun 2004 dan  mendapat tawaran sebagai guru ganti di SMU(A) Darul Ulum Jedok, Jedok Tua, Tanah Merah di kampung kelahiran saya. Tawaran tersebut diperolehi kerana bapa saudara saya merupakan seorang pengetua di situ.

Setahun juga saya mengajar di sekolah tersebut dan sepatutnya saya ditemuduga oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk ke jawatan  guru tetap namun di penghujung 2004 negeri Kelantan mengalami banjir yang agak besar dan saya pada waktu itu pulang ke Felda Perasu, Gua musang kerana  bercuti panjang tidak dapat menghadiri temuduga berkenaan yang dijalankan di Nilam Puri, Kota Bharu akibat terkandas banjir di Kuala Krai.

Makanya, di awal tahun 2005 bermulalah episod menganggur buat diri saya. Disebabkan ketiadaan pekerjaan, saya memohon untuk menjadi guru tuisyen di sebuah pusat tuisyen yang terletak di bandar Gua Musang.

Jadual tuisyen saya lazimnya adalah waktu malam. Ia bermula pada pukul 8.30 malam dan akan tamat pada pukul 10.30 malam.  Kebiasaannya begitulah, saya akan diberikan dua jam untuk mengajar dan setiap jam akan dibayar sebanyak rm20. Ini bermakna untuk satu sesi mengajar saya akan dibayar sebanyak rm40. Di dalam seminggu saya akan mengajar tuisyen sebanyak 3 kali di pusat tuisyen tersebut. Dan matapelajaran yang saya ajar ialah Matematik Tambahan dan juga Fizik.
Pada hujung minggu pula iaitu Jumaat dan Sabtu saya mendapat tawaran mengajar tuisyen di sekolah tempat saya menjadi guru ganti iaitu di SMU(A) Darul Ulum, Jedok. Saya diberikan 8 jam untuk dua hari tersebut.matapelajaran yang diberikan kepada saya ialah Bahasa Inggeris dan Matematik.  

Walaupun jaraknya agak jauh terpaksa berulang dari Gua Musang ke Jedok yang terletak di Tanah Merah, demi sesuap nasi saya gagahi juga. Pelajar-pelajar yang menghadiri kelas saya rata-ratanya dikalangan pelajar sekolah tersebut dan juga daripada Maahad As Sabirin Ayer Lanas, Jeli. Kelas tersebut adalah percuma kepada pelajar dan ia dibiayai oleh Yayasan Islam Kelantan.
Kebiasaannya pada petang Khamis saya akan menunggang motorsikal saya dari Gua Musang untuk ke Jedok dan akan bermalam di rumah datuk dan nenek saya yang terletak di Kampung Jedok Tua. Saya dibayar sebanyak rm160 untuk dua hari tersebut. Jika di congak-congak pendapatan saya di dalam seminggu adalah sekitar rm280. Dapatlah digunakan untuk perbelanjaan harian disamping bekal petrol untuk motorsikal sebagai modal untuk pergi mengajar.

Untuk ke pusat tuisyen yang terletak di bandar Gua Musang,  sebelum sampai ke persimpangan jalan besar saya harus melalui kebun- kebun kelapa sawit milik peneroka Felda Perasu. Melalui beberapa gertak kecil yang sempit, mendaki beberapa buah bukit serta menuruni cerun yang sedikit curam dan jalan yang berselekoh sebelum sampai ke kampung Renok. Jalan kecil inilah yang menghubungkan penduduk Felda Perasu dan kampung Renok seterusnya untuk ke bandar.
Di persimpangan jalan, jika ke kiri kita akan sampai ke bandar Gua Musang dan jika ke kanan kita akan sampai ke Felda Gugusan Chiku.

Jalan yang berliku sebelum tiba ke kampung Renok menyebabkan saya berfikir dua kali untuk pulang selepas mengajar. Kebiasaanya selepas pukul 10 malam jalan kecil itu menjadi lengang dan tiada sesiapa melaluinya. Memikirkan jika terjadi kejadian yang tidak diingi sewaktu melewati bukit dan hutan kelapa sawit menyebabkan saya memilih untuk bermalam di masjid saja dan pulang keesokannya paginya. Tambahan pula saya pernah mendengar cerita penduduk kampung tentang sebuah gertak kecil yang diberi panggilan gertak “Tokkar”.Dikatakan gertak itu agak keras tempatnya.

Saya akan membawa bekal kain selimut dank kain sarung disamping beberapa buku persediaan mengajar saya di dalam sebuah beg galas.
Sewaktu berehat di salah sebuah masjid di bandar sementara menunggu waktu masuk solat dan untuk ke pusat tuisyen, saya berkenalan dengan seorang bernama Said. Maka disinilah bermulanya cerita seorang bernama Said.


Sabtu, 2 Disember 2017

HIDUP DATO' PA !!!

Warga dewan sedang mendengar ucapan daripada
YB Dato Seri Mustapha Mohamed
Hari ini saya ke Pondok Moden bagi menerima sumbangan pakaian seragam sekolah anak sulung. 

Surat hebahan telahpun diedarkan oleh SK Ayer Lanas beberapa hari yang lepas kepada ibu bapa yang telah mendaftarkan anak mereka bagi tahun satu pada tahun hadapan.

Seluruh sekolah rendah di dalam parlimen Jeli terlibat. Dan pakaian seragam sekolah disumbangkan oleh ahli parlimen Jeli iaitu Dato’ Seri Mustapha Mohamed dengan kerjasama Tabung Haji dan pembekal pakaian seragam sekolah berjenama Canggih. Ia adalah untuk seluruh anak-anak Jeli mendaftar ke tahun satu tanpa mengira fahaman parti politik.
YB Dato Seri Mustapha Mohamed
Sedang memberikan ucapan ringkas

Saya tidak tahu di parlimen lain adakah ahli parlimen masing-masing berbuat demikian seperti mana Dato’ Seri Mustapha Mohamed ataupun mesra dipanggil Dato’ Pa lakukan.

Apa yang saya tahu Dato Pa adalah pemimpin yang begitu amanah didalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ahli perlimen. Selalu pulang ke kawasan untuk menjenguk anak buah dan menyelami permasalahan rakyat.

Kehadiran Dato’ Pa di Parlimen Jeli menjadikan Jeli sebagai sebuah daerah yang suatu ketika dahulunya agak mundur dan ketinggalan dari semua aspek pembangunan bertukar wajah dengan pembangunan disana-sini. Sebuah daerah yang pernah digelar sebagai tempat jin bertendang. Jika disebut Jeli semua orang tidak akan sudi bertandang ke sini. Di dada-dada akhbar suatu ketika dahulu pernah memaparkan berita tentang harimau menyerang penoreh getah dan penduduk kampung membuatkan Jeli bukanlah daerah pilihan dan menakutkan.

Pernah juga terdengar sebuah kisah haiwan liar seperti gajah masuk ke kawasan kebun penduduk dan merosakkan tanaman. Begitu sukar penduduk kampung mencari makan pada waktu itu. Demi kelangsungan hidup mereka terpaksa juga ke kebun dan menoreh getah walaupun mengetahui nyawa mereka di dalam bahaya.

Demikianlah secebis kisah tentang daerah Jeli yang hulu dan keterbelakang daripda arus pembangunan.

Kehadiran Dato Pa sebagai ahli parlimen Jeli telah mencorakkan Jeli sebagai salah sebuah daerah yang menjadi tumpuan kini. Segala-galanya ada disini. Sebuah universiti bernama UMK (Universiti Malaysia Kelantan), Politeknik, Kolej Komuniti, Hospital, MRSM, Sekolah Menengah Sains, Affin Bank, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Bank Muamalat dan Pasaraya Pantai Timur menjadikan Jeli setanding dengan daerah-daerah lain bahkan lebih maju daripada daerah Kuala Krai dan Gua Musang dan melangkaui  daerah Tanah Merah.
YB Dato Pa sedang menyampaikan
barangan kelengkapan sekolah kepada
murid-murid

Dengan usaha yang telah dilakukan oleh Dato Pa ini, limpahan pembangunannya dapat dirasai oleh seluruh rakyat Jeli. Tanah –tanah di Jeli meningkat dengan mendadak nilainya akibat pemaju berebut-rebut untuk memajukan tanah bagi menjadikan tapak perumahan untuk para pensyarah, kakitangan bank, kakitangan awam dan sebagai rumah untuk disewakan kepada pelajar-pelajar universiti.

Gerai-gerai di sekitar universiti tumbuhnya bagaikan cendawan  selepas  hujan menyediakan pelbagai juadah dan menu sebagai alternatif kepada pelajar yang sudah jemu dengan makanan di cafĂ©. Pengusaha kedai dobi layan diri juga menikmati limpahan pembangunan apabila ramai pelajar, pensyarah dan kakitangan awam serta penduduk setempat menggunakan khidmat dobi tersebut untuk mencuci pakaian mereka.

Pendek kata nikmat pembangunan ini sama-sama dapat dirasai oleh penduduk setempat sekalipun kepada para peniaga goreng pisang di gerai yang terletak di tepi jalan.
Begitulah besarnya kesan sesuatu pembangunan terhadap kemajuan ekonomi penduduk setempat dan kita tidak boleh untuk menolak pembangunan kerana ia seiring dengan peningkatan ekonomi sesebuah kawasan.

Inilah yang ingin dibawa oleh Dato Pa yang menginginkan UMK didirikan di Jeli dan beberapa pusat pendidikan yang lainnya seperti Politeknik dan MRSM.
Orang ramai berpusu-pusu menunggu giliran mendapatkan
pakaian seragam sekolah  percuma
Dato Pa juga sangat mengutamakan bidang pendidikan. Daripada program sekolah Amanah yang telah dijalankan di beberapa buah sekolah rendah dan menengah tidak lain dan tidak bukan untuk menjamin kualiti pendidikan yang diterima oleh anak-anak Jeli setanding dengan anak-anak yang berada di Bandar. Bahkan pusat tuisyen percuma diberikan kepada murid-murid yang akan menghadapi UPSR dan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan anak-anak Jeli.

Dan hari ini sumbangan pakaian percuma pula untuk anak-anak yang bakal memasuki tahun satu bagi sesi 2018. Saya berasakan amat wajar Dato Pa diberikan penghargaan cukup tinggi oleh penduduk parlimen Jeli. Dengan pemberian pakaian seragam sekolah ini juga setidak-tidaknya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh ibubapa yang rata-ratanya berpendapatan sederhana dengan punca pendapatannya adalah daripada kerja-kerja kampung seperti menoreh getah dan sebagainya.

Tambahan pula bulan Disember adalah merupakan musim tengkujuh yang tentunya membuatkan ramai penoreh-penoreh getah tidak dapat ke kebun untuk menorah dan seterusnya menjejaskan pendapatan mereka. Ia tidak termasuk ahli keluarga yang mempunyai tanggungan yang ramai dan masih bersekolah. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, kecil tapak tangan nyiru ditadahkan. Pemberian pakaian seragam ini memang tepat pada masanya dikala kos sara hidup kian meningkat.
HIDUP DATO’ PA !!!









Rabu, 29 November 2017

MUSIM TENGKUJUH TIBA LAGI

Anak-anak sedang bermain air dihadapan rumah
Di penghujung tahun di bulan November dan Disember, sudah menjadi kebiasaan di negeri di pantai timur akan menerima taburan hujan yang sangat lebat. Jika hujan tiga atau empat hari berlarutan tanpa henti akan mengakibatkan berlakunya banjir di kebanyakan kawasan yang agak rendah.

Sewaktu saya menetap di Nibong tiada sebarang masalah berkaitan banjir. Hanya suasana sejuk yang menyelubungi. Tidak perlu ambil kisah tentang air hujan yang akan melimpah masuk ke dalam rumah. Tidak perlu memikirkan untuk mencari tempat perpindahan kerana tidak pernah berlaku banjir.

Sebatang jalan kecil yang menghubungkan Kg. Bechah Perahu dan
bandar Tanah Merah telah ditenggelami air
Namun semalam adalah pengalaman pertama saya berdepan dengan situasi banjir. Bukan banjir sangat pun cuma hujan lebat menyebabkan air sebak dan bertakung dan melimpahi jalan di hadapan rumah. Mujur rumah saya ini letaknya agak tinggi sedikit dan air hanya hampir mencecah tiang pintu pagar rumah sahaja.

Saya tidaklah begitu bimbang kerana sudah dimaklumkan lebih awal sebelum memiliki rumah tersebut lagi telah mendapat maklumat pada banjir besar yang melanda pada tahun 2014 rumah itu tidak dinaiki air. Cuma penduduk di kawasan ini akan terperangkap tidak dapat keluar ke bandar ekoran jalan kecil yang menghubungkan kawasan tersebut dinaiki air dan tidak dapat dilalui dengan kenderaan kereta mahupun motorsikal.

Kelihatan kanak- kanak dan dewasa sedang mengharung air
Alhamdulillah pada malamnya selepas Isya’ sekitar jam lapan lebih saya turun semula ke halaman untuk menjenguk paras air. Kelihatannya semakin susut.
Keesokan paginya sesudah Subuh saya keluar sekali lagi ke halaman rumah untuk menjenguk paras air. Pagi ini air surut sepenuhnya. Alhamdulillah….

Sedikit info tentang kawasan tempat tinggal saya kini:
Kampung Bechah Perahu, Manal 1 Tanah Merah Kelantan. Merupakan bekas kawasan paya dan bendang padi suatu ketika dahulu dan kini telah dijadikan penempatan. Namun terdapat beberapa kawasan yang masih berpaya yang airnya tidak pernah kering.


Pada waktu malamnya kedengaran cengkerik dan sahutan katak saling bertingkah.Seperti yang pernah saya dengari sewaktu zaman kanak-kanak. Bersama-sama dengan kawan-kawan melewati kawasan tandak dari kampung saya ( Jedok Tua ) untuk pergi ke kampung sebelah ( Kampung Gual ) untuk menyaksikan pertunjukan dikir barat.


Jumaat, 24 November 2017

SELAMAT TINGGAL RUMAH KENANGAN

Rumah ini meninggalkan seribu satu kenangan kepada saya didalam mengharungi pahit maung kehidupan. Biarpun ia hanya sekadar rumah sewa tetapi ia cukup melekat di sanubari saya.

Rumah ini cukup selesa. Mempunyai ruang tamu, ruang keluarga, satu master bedroom dan tiga bilik tidur. Juga mempunyai dua bilik mandi dan mempunyai ruang laundry dibahagian belakangnya.

Ruang laman hadapannya cukup luas. Jika didirikan khemah untuk majlis kenduri  saya kira ia dapat memuatkan empat ataupun lima buah khemah bersaiz biasa. Cukup luas.Di hadapan rumah di sebelah kirinya terdapat lampu jalan yang menerangi laman dan di bawah lampu tersebut terdapat sebuah garaj kereta yang dapat memuatkan dua buah kereta.

Saya begitu senang sekali tinggal di situ.Adik beradik yang ingin pulang berhari-raya tidak akan menghadapai masalah untuk ruang letak kereta mahupun bilik tidur.
Waktu paginya  nyaman sekali. Dikelilingi pokok-pokok buah-buahan dan nyior yang ditanam oleh pemiliknya.

Disebelah kiri rumah tersebut juga terdapat kebun buah-buahan milik seorang penduduk kampung menjadikan suasana sekitarnya redup dan sejuk. Di tambah pula bekalan air untuk kegunaan harian seperti membasuh pakaian, mandi dan sebagainya adalah berpunca daripada bukit. Tiada bayaran bulanan yang dikenakan. Cuma perlu membayar sedikit upah bagi penduduk kampung untuk membaiki sekiranya berlaku masalah paip tersumbat.Kebiasaanya saluran paip akan tersumbat dan dipenuhi pasir ketika waktu hujan lebat. Rasanya sejuk dan nyaman seperti mandi di kawasan air terjun. Airnya juga deras dan boleh mandi sepuas hati.

Di waktu senja suasana menjadi cepat redup dan gelap. Lantaran matahari terbenam akan terlindung disebalik pohon-pohon getah yang merimbun di bahagian belakang rumah.
Dan azan Maghrib berkumandang dengan jelas sekali kerana duduknya hanya setengah kilometer sahaja dari rumah.

Di musim tengkujuh di bulan Disember, akan kedengaran jelas sekali deruan air sungai dari kebun buah-buahan di sebelah rumah. Airnya akan menjadi keruh dan arusnya akan lebih deras jika hujan turun dengan lebatnya. Saya sendiri pun tidak pasti dimanakah penghujungnya sungai itu. Tidak pernah pula saya cuba mengembara menuruti alurnya.Lagipun saya tidak berminat.

Lebih kurang setahun lebih saya menetap di rumah tersebut. Bermula pada Julai 2015 sehingga Mac 2017. Sebuah kampung yang diberi nama Kampung Nibong letaknya di dalam jajahan Tanah Merah.Jauhnya sekitar setengah jam perjalanan ke Bandar Tanah Merah dan dua puluh minit untuk ke pekan Jeli. Kedudukannya betul-betul di tepi jalan raya Pasir Putih-Gerik.


Dua hari sebelum menjelangnya hari raya, dapat dilihat kereta bersesak-sesak dan bergerak dengan perlahan akibat terlalu ramai perantau dari arah utara yang menggunakan jalan tersebut untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Agak leka juga saya menontonnya dari muka pintu rumah.

Kini tiada lagi deruan anak sungai dari kebun sebelah yang kedengaran. Tiada lagi suara burung-burung yang berkicauan dari kebun getah di belakang rumah. Tiada lagi bau hamis najis dan kencing lembu milik tuan empunya kebun sebelah. Tiada lagi kelibat arwah adik yang keluar masuk dari biliknya untuk mengambil minuman di dapur. Tiada lagi rasa sejuknya air bukit sewaktu mandi. Tiada lagi suasana pagi penuh kabus yang menenangkan. Tiada lagi senja yang sayu disusuli azan Maghrib dari masjid berdekatan.

Rumah itu saya tinggalkan dengan penuh kenangan.Penuh rasa hiba kerana disitulah kali terakhir arwah adik keluar melangkahkan kakinya untuk ke hospital ditemani saya dan ibu sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir beberapa hari berikutnya.

Saya berpindah lagi. Tetapi destinasi kali ini adalah rumah milik sendiri. Tidak perlu lagi membayar sewa bulanan sebanyak RM550.00 setiap bulan.

Walaupun sudah mempunyai rumah milik sendiri. Jauh dari lubuk hati yang paling dalam rumah itu tetap di dalam kenangan dan kekal di dalam diari perjalanan hidup saya.

Dan kicauan burung yang disusuli dengan deruan air sungai saling bertingkah menjadikan muzik alam begitu syahdu dan menenangkan. Selamat tinggal “rumah kenangan”.

  

Khamis, 23 November 2017

BERMULANYA CUTI PERSEKOLAHAN

23 November 2017 adalah hari terakhir persekolahan. Makanya esok bermulalah cuti persekolahan. Banyak sekali kenangan pahit manis yang terpahat sepanjang tahun 2017.

Selepas melalui saat sedih kehilangan adik bongsu pada Jun 2016,saya sekeluarga mengharungi kehidupan seperti biasa. Tambahan pula permohonan projek rumah mesra rakyat yang dipohon sejak menyewa di bangunan kedai milik Kak Wan Che Sah di kampung Ayer Ralek telah diluluskan dan kini sudah pun siap. Cuma menunggu bajet untuk kemasukan elektrik,air, jubin lantai dan tangki air sahaja. Duit belum ada.

Insyaallah awal tahun hadapan dapatlah ibu menduduki rumah sendiri. Sekali – sekala dapatlah juga saya transit di sana 2 atau 3 kali dalam seminggu ke tempat kerja memandangkan rumah ibu lebih dekat berbanding rumah saya yang terletak di pinggir bandar Tanah Merah.
Jika ada masa terluang, dapatlah juga kami bertani dan bercucuk tanam di tanah sendiri peninggalan arwah datuk.

Di kampung  masih ada dua bidang tanah tanah ibu yang terbiar tanpa diusahakan. Saya pernah berhasrat untuk mengusahakannya, namun bajet dalam poket masih membatasi. Paling tidak modal diperlukan untuk menyodok tanah membersihkan kawasan, membuat pagar dan sebagainya.
Angan-angan hanya tinggal angan-angan. Orang tua – tua bilang kalau tiada duit tak payah bercakaplah. Lalu saya pendamkan sahaja hasrat untuk melaksanakan projek tanaman tebu saya cita-citan sebelum ini. Harap- harapnya pada tahun hadapan akan ada duit jatuh dari langit ke untuk dibuat modal.

Diharapkan juga tahun 2018 yang bakal menjelma nanti akan memberikan sinar kepada diriku dan keluarga.dijauhi segala musibah, ditetapkan iman dan sentiasa berada dijalan yang diredhai olehNya.
Insyaallah Berjaya di dunia dan Berjaya jua di akhiratnya nanti.

Selamat bercuti kepada warga pendidik dan kawan-kawan yang saya segani…



Ahad, 19 November 2017

MUDA YANG TIDAK AKAN KEMBALI

Di penghujung 30- an ini, sesekali aku terkenangkan zaman muda ku yang penuh gemilang. Zaman sewaktu di bangku sekolah terutamanya sering bertandang di benak fikiran.

Selepas bangkit daripada kegagalan UPSR. Aku memasuki tingkatan satu dengan semangat yang berkobar-kobar. Malu yang teramat sangat menjadi daya penggerak untuk aku tekun di dalam pelajaran.

Selepas keputusan UPSR yang aku kira agak teruk, membuatkan aku termenung sendirian. Betapa selama ini telah banyak waktu-waktuku terbuang begitu sahaja.

Kemanakah arah tuju hidupku selepas ini? Disaat ramai rakan-rakan pada waktu itu berjaya menempatkan diri untuk belajar di sekolah berasrama penuh, aku hanya mampu melihatnya dari jauh.

Aku cuba mencari -cari dimanakah kekuatanku yang sebenar. Setiap langkah ke sekolah aku aturkan penuh makna. Setiap bait-bait lagu sekolah yang ku nyanyikan sewaktu perhimpunan mingguan aku hayati dengan penuh mendalam. Setiap kata-kata guru sewaktu di dalam kelas aku tekuni. Setiap latihan dan kerja rumah yang diberikan guru aku siapkan tanpa ada rasa keluh resah.

Sebelum tidur aku bermonolog sendirian.aku sematkan kata-kata semangat ke dalam lubuk sanubariku. Rutin persekolahan aku lalui dengan semangat yang waja. aku gauli rakan-rakanku tanpa ada rasa prejudis. Guru - guru aku hormati selayaknya. Disiplin sekolah tidakku langgar.

Dan akhirnya tiga tahun yang berikutnya ia telah membuahkan hasil. Didalam peperiksaan PMR yang merupakan peperiksaan penting di peringkat menengah rendah aku berjaya mendapat 7A daripada lapan matapelajaran yang ditawarkan.Sekaligus memahatkan namaku sebagai pelajar terbaik PMR di sekolah pada waktu itu.

Aku terkesima seketika. Tidak terkata. Mandi ku tidak basah dek kerana keputusan yang cemerlang itu. Perasaan ku amat teruja kerananya. Dan aku melangkah ke tahun baharu memasuki tingkatan empat aliran sains dengan penuh gayanya.

Perjuangan masih belum selesai. Aku menggali ilmu semahunya sebagai persediaan SPM. Satu lagi peperiksaan yang amat penting. Ia ibarat nyawa.Ia adalah penentu hala tuju hidup. Ia merupakan cermin keseluruhan pendidikan yang telah kita lalui sepanjang 11 tahun di bangku sekolah.

Sekali lagi berkat ketekunan dan usaha tanpa rasa jemu,aku telah tersenarai salah seorang pelajar aliran sains yang mendapat pangkat satu. Pada waktu itu hanya tiga orang sahaja pelajar aliran sains yang berjaya mendapat pangkat satu. Dua daripadanya adalah pelajar perempuan.

Lebih membanggakan kesepuluh matapelajaran yang ku ambil telah mendapat pangkat kepujian.

Laluan untuk memasuki universiti semakin terbuka. Di saat rakan-rakan yang lain masih tercari-cari arah untuk memasuki tingkatan 6. Aku sudah melihat laluan yang ingin aku lalui.

Matrikulasi adalah pilihan utama kerana aku ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah tanpa melalui program diploma atau tingkatan 6.

Dengan berbekalkan sijil SPM yang baik aku diterima untuk memasuki matrikulasi UPM di Kolej Mara Kulim, Kulim Kedah.

Setahun di sana aku melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dengan mengikuti kursus Bachelor Sains (Kepujian) - Fizik.

Dan kini telahpun berjaya menempatkan diri sebagai kakitangan awam.

Daripada kegagalan lalu. Satu perkara yang aku pelajari. Kejayaan tidak akan datang bergolek. Perlu kepada usaha yang tiada nokhtahnya. Ayuh!! sama-sama kita berusaha menjadi yang terbaik!!


Sabtu, 18 November 2017

ZAMAN GEMILANG


Tidak pernah terlintas difikiran untuk membuka sebuah kedai runcit. Segala-galanya bermula pada tahun 2010. Waktu itu aku telah pun membuka sebuah cyber cafe yang terletak di kompleks sukan Felda Kemahang 2. Memandangkan bapaku seorang penolong pengurus di tanah rancangan tersebut maka mudahlah aku mendapatkan sebuah kedai untuk menjalankan perniagaan cyber cafe.


Panas disangkakan hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Begitulah nasib yang menimpa keluarga kami. Ayah dan ibu tidak lagi sehaluan. Maka penceraian merupakan pilihan terakhir. Tempias pencerian ayah dan ibuku turut terpalit juga pada diriku. Sehinggakan aku mendengar khabar-khabar angin yang bapaku ingin keluarkan aku daripada kedai tersebut.

Merasakan diri ibarat telor dihujung tanduk, aku mengambil keputusan untuk keluar daripada premis tersebut. Tambahan pula pada suatu hari di dalam perjalanan pulang dari mengajar aku ternampak akan iklan sebuah kedai yang ingin disewakan. Bangunan kedai tersebut berdekatan dengan rumah ibu saudaraku pula.

Setelah berbincang dengan ibu sebaik pulang dari kerja, ibuku bersetuju ingin melawat bangunan kedai itu dan sekiranya sesuai kami ingin menyewanya.

Alhamdulillah. Setelah melihat dengan sendiri keadaan kedai yang agak luas dilengkapi dengan sebuah bilik tidur, dapur dan bilik air ibu bersetuju untuk mencuba nasib berniaga disitu. Dengan keluasan kedai itu maka terlintaslah difikiran kami untuk membuka kedai runcit disebelahnya. Ini bermakna  keluasan kedai itu kami bahagikan kepada dua. Disebelahnya cyber cafe dan di sebelahnya ialah barang-barang runcit.

Sejak detik itu bermulalah kehidupan baru kami sebagai peniaga. Memang amat menyeronokkan.Perniagaan cyber cafe dan runcit berjalan serentak. Ramailah budak-budak kampung yang menggunakan perkhidmatan cyber cafe kami untuk melayari internet di kedai ku. Tidak kurang juga perniagaan runcit berjalan dengan lancar. Pendapatan daripada kedua-dua perniagaan tersebut tidak kurang daripada RM500 hingga RM600 sehari.



Saat dan ketika ini kami namakan “Zaman Gemilang”. Di dalam entri ini aku sisipkan beberapa keping foto yang ku rakam tanpa sengaja. Mengenangkan saat itu membuatkan aku tersenyum sendiri.

SEBUAH HARAPAN

Deru angin di suatu senja
membawa bersamanya luka-luka semalam
melihat bocah-bocah kecil bersorak ria
adalah gambaran masa silam

anak-anak generasi
jika kau senang di ketika ini
renungkanlah tatkala
kita bertatih berjalan dan berlari
dan seterusnya meragut

senja kian melabuhkan tirainya
dan ku hanyut ke tanjung kalbu
bersama rinduku yang mendalam...

Jumaat, 17 November 2017

PERTAMA DAN TERAKHIR

Di rumah sewa inilah buat kali terakhirnya aku bersama-sama keluarga meraikan hari lebaran. Hari di mana  seluruh umat Islam menyambutnya dengan penuh rasa syukur dan gembira sebagai tanda kemenangan menahan lapar dan dahaga, melaksanakan ibadah puasa serta berterawih.
Dalam rasa syukur dan gembira, ada kisah duka yang terpahat di lubuk sanubariku. 3 hari sebelum menjelangnya Ramadhan, adikku W. Mustaqim W. Hanafi telah pergi buat selama-lamanya. Setelah hampir 3 tahun menghidapi penyakit Leukemia, dia menghembuskan nafas terakhirnya di wad 3 selatan HUSM pada pukul 1.55 pagi pada hari jumaat 2 Jun 2016.


rumah sewa inilah tempat kami anak beranak menumpang teduh buat seketika waktu.Aku rasa amat bersykur walaupun di dalam keadaan serba kekurangan, kami dapat juga menyewa di rumah yang agak jauh lebih selesa berbanding sebelum ini. Di sebuah rumah kedai yang sempit yang hanya mempunyai 1 bilik.

Setidak-tidaknya ibu dan adikku dapat mempunyai bilik sendiri. Lebih selesa.
Hari raya pada tahun tersebut adalah yang pertama tanpa dia. Ada sedikit kelainan.Rasa sunyi. Sepi. Suram bercampur baur. Aku masih ingat di awal tahun itu. Adikku yang keempat telah merancang ingin memasang pelita di semua penjuru pagar untuk menampakkan kemeriahan hari raya.Aku hanya mengangguk setuju. Adikku yang sakit ini hanya tersenyum.menampakkan arsa setuju dan senang.
Namun ia hanya tinggal sebuah kenangan yang akan tetap kekal terpahat buat selama-lamanya. Belum pun sempat memasuki Ramadhan Mustaqim telah pergi meninggalkan kami.
Dua hari sebelum dia meninggal dunia, Doktor Azlan( Doktor yang merawat adikku) memberitahu sel kansernya sudah mengganas dan beliau tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Mendengar kata-kata itu aku hanya pasrah pada takdir Allah. Aku rasa cukup sedih namun di hadapannya aku langsung tidak mempamerkan kesedihan itu. Kata – kata itu menjelaskan kepadaku dia akan pergi buat selama-lamanya.
Dalam rasa sedih aku menghampirinya untuk memberikan sebuah kekuatan.sebuah semangat. Aku tahu dia hanya ada aku dan emak shaja. Adik beradik yang lain semuanya berada di kejauhan. Ayah pula setelah bercerai dengan ibu telah berkahwin lain dengan seorang jada anak dua dan telah pun mempunyai seorang lagi anak yang masih kecil.
Hampir setiap malam aku menemaninya bersama ibu di hospital. Tambahan pula kebetulan cuti pertengahan tahun sedang bermula. Segalanya telah dipermudahkan olehNya.
Sesungguhnya sebagai umat Islam Yang percayakan akan qada- qadar Allah aku hanya mampu berserah.Kerana mati sesiapa pun akan mati. Bila-bila pun boleh mati. Dan mati ada dimana-mana jika waktunya telah tiba. Tanpa dilewatkan atau dicepatkan walau sesaat.
Cuma aku hanya mampu bersujud dan berdoa kepada Yang Maha Esa agar damailah rohnya di sana.Moga-moga rohnya ditempatkan dikalangan para solihin dan diterima segala amalan sewaktu hayatnya.