Kisah ini berlaku sekitar tahun 2005. Ketika itu saya baharu sahaja bergraduat pada
tahun 2004 dan mendapat tawaran sebagai
guru ganti di SMU(A) Darul Ulum Jedok, Jedok Tua, Tanah Merah di kampung
kelahiran saya. Tawaran tersebut diperolehi kerana bapa saudara saya merupakan
seorang pengetua di situ.
Setahun juga saya mengajar di sekolah tersebut dan
sepatutnya saya ditemuduga oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk ke
jawatan guru tetap namun di penghujung
2004 negeri Kelantan mengalami banjir yang agak besar dan saya pada waktu itu
pulang ke Felda Perasu, Gua musang kerana
bercuti panjang tidak dapat menghadiri temuduga berkenaan yang
dijalankan di Nilam Puri, Kota Bharu akibat terkandas banjir di Kuala Krai.
Makanya, di awal tahun 2005 bermulalah episod menganggur
buat diri saya. Disebabkan ketiadaan pekerjaan, saya memohon untuk menjadi guru
tuisyen di sebuah pusat tuisyen yang terletak di bandar Gua Musang.
Jadual tuisyen saya lazimnya adalah waktu malam. Ia bermula
pada pukul 8.30 malam dan akan tamat pada pukul 10.30 malam. Kebiasaannya begitulah, saya akan diberikan
dua jam untuk mengajar dan setiap jam akan dibayar sebanyak rm20. Ini bermakna
untuk satu sesi mengajar saya akan dibayar sebanyak rm40. Di dalam seminggu
saya akan mengajar tuisyen sebanyak 3 kali di pusat tuisyen tersebut. Dan
matapelajaran yang saya ajar ialah Matematik Tambahan dan juga Fizik.
Pada hujung minggu pula iaitu Jumaat dan Sabtu saya mendapat
tawaran mengajar tuisyen di sekolah tempat saya menjadi guru ganti iaitu di
SMU(A) Darul Ulum, Jedok. Saya diberikan 8 jam untuk dua hari tersebut.matapelajaran
yang diberikan kepada saya ialah Bahasa Inggeris dan Matematik.
Walaupun
jaraknya agak jauh terpaksa berulang dari Gua Musang ke Jedok yang terletak di
Tanah Merah, demi sesuap nasi saya gagahi juga. Pelajar-pelajar yang menghadiri
kelas saya rata-ratanya dikalangan pelajar sekolah tersebut dan juga daripada
Maahad As Sabirin Ayer Lanas, Jeli. Kelas tersebut adalah percuma kepada
pelajar dan ia dibiayai oleh Yayasan Islam Kelantan.
Kebiasaannya pada petang Khamis saya akan menunggang
motorsikal saya dari Gua Musang untuk ke Jedok dan akan bermalam di rumah datuk
dan nenek saya yang terletak di Kampung Jedok Tua. Saya dibayar sebanyak rm160
untuk dua hari tersebut. Jika di congak-congak pendapatan saya di dalam
seminggu adalah sekitar rm280. Dapatlah digunakan untuk perbelanjaan harian
disamping bekal petrol untuk motorsikal sebagai modal untuk pergi mengajar.
Untuk ke pusat tuisyen yang terletak di bandar Gua
Musang, sebelum sampai ke persimpangan
jalan besar saya harus melalui kebun- kebun kelapa sawit milik peneroka Felda
Perasu. Melalui beberapa gertak kecil yang sempit, mendaki beberapa buah bukit
serta menuruni cerun yang sedikit curam dan jalan yang berselekoh sebelum
sampai ke kampung Renok. Jalan kecil inilah yang menghubungkan penduduk Felda
Perasu dan kampung Renok seterusnya untuk ke bandar.
Di persimpangan jalan, jika ke kiri kita akan sampai ke
bandar Gua Musang dan jika ke kanan kita akan sampai ke Felda Gugusan Chiku.
Jalan yang berliku sebelum tiba ke kampung Renok menyebabkan
saya berfikir dua kali untuk pulang selepas mengajar. Kebiasaanya selepas pukul
10 malam jalan kecil itu menjadi lengang dan tiada sesiapa melaluinya.
Memikirkan jika terjadi kejadian yang tidak diingi sewaktu melewati bukit dan
hutan kelapa sawit menyebabkan saya memilih untuk bermalam di masjid saja dan
pulang keesokannya paginya. Tambahan pula saya pernah mendengar cerita penduduk
kampung tentang sebuah gertak kecil yang diberi panggilan gertak
“Tokkar”.Dikatakan gertak itu agak keras tempatnya.
Saya akan membawa bekal kain selimut dank kain sarung
disamping beberapa buku persediaan mengajar saya di dalam sebuah beg galas.
Sewaktu berehat di salah sebuah masjid di bandar sementara
menunggu waktu masuk solat dan untuk ke pusat tuisyen, saya berkenalan dengan
seorang bernama Said. Maka disinilah bermulanya cerita seorang bernama Said.